Sunday 20 January 2019

PROJEK SERAM MUZIUM


PEMBELIAN ATAS TALIAN

KAIN IBU SYAITAN – A. DARWISY

Hari pertama Azham bekerja di Muzium Tekstil Negara, dia sudah diganggu dengan perkara-perkara aneh. Bukan dia seorang saja, tetapi hampir semua pekerja di dalam muzium itu turut merasai pengalaman yang menakutkan. Kemuncaknya, adalah pada program Denai Malam yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia. Apa yang terjadi pada malam itu? Apa pula kaitannya dengan siri kejadian seram yang menimpa mereka sebelum ini? Benarkah muzium itu berhantu atau ada cerita di sebaliknya yang mereka tidak tahu?

“Setiap yang lama itu, ada penjaganya...”

CANANG ANISAH – SUZANI NADZIR
Satu tugasan yang diterima membawa sekumpulan ahli arkeologi ke Gua Cha. Perjalanan mereka tidak semudah yang dirancang. Kemalangan yang berlaku membuatkan mereka mengambil jalan pintas ke sebuah kampung. Tambah memburukkan keadaan, kenderaan yang dinaiki oleh mereka rosak di tengah jalan. Dengan pertolongan yang ditawarkan oleh Rahman, mereka menumpang teduh di rumah lelaki itu sementara menunggu kereta mereka siap dibaiki. Di situ, mereka terjumpa sebuah bangunan terbengkalai yang dipercayai merupakan sebuah muzium lama. Usul telah diajukan oleh Fahrin kepada pihak Muzium Kesenian Pantai Timur untuk cadangan membaik pulih bangunan tersebut.

“Aku memburu jiwa yang hitam, menghapuskan hati yang kotor!”

PASUNGAN – FAIZUL RAHIM
Lawatan sekumpulan pelajar sekolah ke salah sebuah muzium semuanya kelihatan elok dan berjalan lancar. Tetapi kejadian histeria yang secara tiba-tiba berlaku di sekolah tersebut telah menyebabkan Yusuf berminat untuk membantu kerana dia tahu ada yang sedang menanti dirinya. Kejadian pembunuhan yang pernah berlaku belahan tahun lambat sengaja disembunyikan oleh pihak muzium tanpa siapa mengetahui alasannya. Keberanian Haslina untuk membantu Yusuf menyelesaikan misteri berakhir tragedi.

“Cinta terpasung, cinta berdarah.


Tuesday 11 September 2018

Novel Seram Terbaharu A. Darwisy | Ngauman Cindaku

Blurb kulit belakang novel

Menurut catatan Residen Jeneral British pada tahun 1884, wujud sekumpulan manusia yang biologinya boleh berubah menjadi seekor binatang. Sejauh manakah kebenarannya?

Hal ini mendorong Scha, seorang wartawan majalah bersama rakan-rakannya ke sebuah perkampungan. Berjayakah mereka merungkai kebenaran hujah sains dan kepercayaan tahyul ini?

Pada masa yang sama, Faizal yang dalam perjalanan ke kampung halaman telah diduga dengan kehilangan anaknya, Fareez berhampiran sebuah perkampungan orang asli. Namun, pada ketika itu penduduk orang asli berdepan dengan serangan binatang buas di kala bulan mengambang.

Apa kaitannya kehilangan Fareez dan semua ini? Adakah kejadian ini mempunyai kaitan dengan kejadian lampau pada tahun 1948 yang mana tragedi berdarah melibatkan tujuh buah keluarga dibaham hidup-hidup angkara bangsa cindaku?

Wujudkah bangsa cindaku dan siapakah mereka? Benarkah ngauman itu bakal kembali lagi….

“Bunyi gemerencing yang kita dengar tadi... datangnya daripada rantai besi yang dipasungkan pada kaki harimau.” – FAIZAL

“Ini sketch yang aku dapat bila temu ramah orang kampung beberapa bulan lepas. Mereka percaya setiap kali fenomena bulan penuh, benda ni akan keluar dari hutan dan minum air di sepanjang Sungai Tembeling. Menarikkan skop kita?”– SCHA

“Itu bukan harimau biasa, tapi… harimau jadi-jadian!” – MAIMUN

GRAF SERAM di dalam novel ini

Elemen MISTIK mendahului elemen yang lain. Bagi yang dah selesa dengan penulisan Nua, kalian sedia maklum olahan seram Nua bagaimana. Mudahan berkenan di hati.

Kita sama-sama rasai pengalaman baru ni ya. 




TEASER VIDEO Ngauman Cindaku


Friday 10 November 2017

PROJEK SERAM TEROWONG


Salam.

Selepas Projek Seram Lombong terbitan Januari 2016, pada tahun ini Nua terlibat dengan sebuah lagi novelet bertema berjudul Projek Seram Terowong (bakal terbit Disember 2017 - jauh betul gapnya. Sebenarnya, ada beberapa tawaran PS daripada pihak penerbit tetapi Nua terpaksa tolak dengan baik kerana ada komitmen lain. Bukan kekwat tau.).

Sekali lagi, bergandingan dengan penulis senior, abang Zaifuzaman Ahmad (Sebelum ini dalam novelet Kala Senja Dia Datang. Dan kebetulan, turut berganding dengan abang Saidee Nor Azam dalam PS Lombong).

Di dalam PS Terowong, ada tiga buah kisah berbeza yang mana abang Zaifuzaman membawa cerita yang bertajuk Ghaib, Syasya bertajuk Tumbal Terowongan Terawangan dan Nua sendiri bertajuk LRT. (Haha, nampak tak tajuk cerita Nua yang paling secoet sekali?)

Awalnya, sewaktu pemilihan penulis untuk PS Terowong ini, ada penulis lain di tempat Syasya. Pada waktu itu, kami sudah berbincang agar setiap cerita walaupun temanya sama tetapi jenis karyanya mestilah berlainan antara satu sama lain. Ini penting supaya PS Terowong ada 'warna' dan pelbagai 'rasa'.

Abang Zaifuzaman memilih untuk menghasilkan sebuah cerita yang ada elemen misteri dan penyiasatan, seorang lagi penulis memilih cerita yang diselitkan unsur epik dan sejarah dan ketika itu Nua perlu menghasilkan cerita yang lari dari kelaziman Nua (epik) supaya tidak wujud persamaan. Maka, Nua pilih untuk bawa cerita berkonsep urban legend.

Apabila penulis tersebut menarik diri atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kami perlu mencari penulis bagi menggantikan slot yang kosong. Dan pemilihan Syasya bagi Nua adalah tepat kerana Nua sedia maklum dengan cara penulisan dan gaya bahasanya. Syasya, olahan bahasanya mellow (sedap dibaca) dan stail orang-orang lama.

Berbalik kepada PS Terowong, sebagaimana PS Lombong... ini adalah tema yang bagi Nua agak mencabar untuk menarik perhatian majoriti pembaca kerana temanya kurang komersial. Dan Nua berharap sangat novelet ini paling tidak dapat melepasi cetakan pertama dan ada potensi yang baik untuk cetakan kedua dan seterusnya. Satu tanggungjawab yang besar. (Kan best dapat tema PS Kantin...terus aku buat cerita Mak Cik Timah. Haha. Seloroh aje.)

Mohon sokongan daripada kalian semua. Andai kata ada yang kurang gemar dengan cerita Nua, kita ada cerita abang Zaifuzaman dan Syasya sebagai ganti insyaAllah. Jangan lupa dapatkan tau.

Untuk pengetahuan semua, PS Terowong berharga RM24 dan bawah 400 jumlah halamannya. Setiap penulis diberi kuota 120-130 mukasurat saja. Walaupun terhad, kami cuba memberi yang baik seadanya. 

Okey, apa yang boleh Nua janjikan dalam PS Terowong ini? 

Tentu sekali LRT sangat jauh berbeza dengan Tanah Rizab Jin. TRJ, epik manakala LRT pula urban legend. Ini cerita orang kota, bahasanya bahasa orang bandar dan nuansa seramnya juga berbeza. Latarnya di hutan batu, di sini... di Kuala Lumpur. Untuk pembaca dari negeri lain, mungkin ini satu pengalaman baru untuk kalian semua. Untuk pembaca yang tinggal di KL, ini cerita anda!!

Baca dengan tenang dan teliti. Setiap tanda tanya, sudah ada jawapannya. Tinggal lagi, peka atau tidak kita menaakulnya.

SEDIKIT PETIKAN 'LRT'...

“Bukan ni Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang ke...?” gumam Azlan. Matanya melilau mengitari segenap tempat. Kalau tebakannya betul, mereka akan menemui sebuah hotel 5 bintang tidak jauh dari situ.

“Aku rasa tak...” celah Syed dengan nada berbisik. Mereka berenam sekarang ini sedang berjalan di tengah-tengah laluan yang mana di kiri dan kanan, binaan pusara dan batu nisan memenuhi seluruh bidang tanah.

“Habis tu?”

“Kita memang ada di tapak kubur tapi bukan kubur Jalan Ampang. Jarak kubur tu dengan stesen ni lebih 1 kilometer jauh dia.”

“Jadi, kita di mana?”

“Cuba kau amati betul-betul belah kiri dan kanan kita. Apa yang lain di mata kau?”

Azlan merenung binaan pusara yang terdapat di situ. Batunya sudah berlumut, malah nisannya juga seperti dari batu-batu sungai yang sudah dimakan waktu. Daun-daun kering memenuhi keseluruhan tapak itu, tebal seperti langsung tidak pernah disentuh.

“Macam kubur lama...”

BERSAMBUNG...












Tuesday 9 May 2017

PRE-ORDER NOVEL AMUKAN JEMBALANG TANAH

Salam.

Tempahan sudah dibuka oleh Karangkraf Mall untuk novel Amukan Jembalang Tanah.

Boleh klik di pautan ini http://mall.karangkraf.com/amukan-jembalang-tanah.html atau whatsapp di nombor ini, 019-229 7227




Monday 24 April 2017

TRAILER AMUKAN JEMBALANG TANAH

Salam.

Bikinan trailer ini bagi meraikan kehadiran novel Amukan Jembalang Tanah yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Bagi video lebih jelas, boleh setting quality 480p. Untuk audio pula, disarankan menggunakan earphone untuk kesan bunyi yang lebih detil.

Selamat menonton.





Saturday 22 April 2017

NOVEL TERBARU A. DARWISY | SINOPSIS AMUKAN JEMBALANG TANAH

Salam.

Alhamdulilah. Inilah novel terbaru Nua. Kawan-kawan yang ada rezeki lebih, insyaAllah boleh dapatkan nanti.

Nua tak janji 'bulan dan bintang' tetapi bagi yang sudah selesa dengan cara Nua mengolah cerita seram, mudahan menjadi salah satu koleksi novel kesayangan kalian.

Kisah kampung aje ni. Nua sebagai 'orang tengah' yang menyampaikan cerita ini kepada khalayak yang lebih besar untuk dijadikan iktibar.

Seramnya pada keaslian cerita ini, insyaAllah. Satu pengalaman baru. Satu pengembaraan yang baru. Satu perjalanan tarbiyah.